Thursday, January 20, 2011

Kenali Penduduk Kawasan MERU

Meru merupakan sebuah kawasan separa bandar dalam Daerah Klang yang bersempadan dengan Daerah Petaling (pinggir kawasan pentadbiran MBSA) dan berdekatan dengan Daerah Kuala Selangor. Pertumbuhan perbandaran baharu seperti Setia Alam dan Klang Sentral yang terletak betul-betul di sempadan Meru menjadikan kawasan ini semakin pesat membangun.
Mengikut bancian JKKK pada 2007, penduduk Meru berjumlah 30,000 orang.
Secara geografi, Meru merupakan kawasan yang landai dan berhampiran pantai barat Semenanjung Malaysia. Suatu masa dahulu sebahagian kawasan ini sering dilanda banjir yang berlarutan hingga seminggu terutamanya bila hujan lebat turun di sebelah bukit pada masa air laut pasang tinggi. Fenomena ini terjadi disebabkan kawasan ini berlatarbelakangkan kewasan berbukit seperti Bukit Kapar dan Bukit Cherakah. Namun semenjak projek tebatan banjir siap sekitar 2005, ia tidak pernah alami banjir besar kerana limpahan air hujan daripada bukit-bukit berhampiran akan ditakung sementara di kolam takungan di Kg Budiman terlebih dahulu.
Pusat perniagaan/pekan bagi seluruh kawasan ini yang terletak di Meru membolehkan semua penduduk daripada kawasan-kawasan berhampiran mendapatkan barang keperluan masing-masing. Faktor tersebut menyebabkan kami yang tinggal di kawasan/kampung berlainan saling bertemu dan mengenali antara satu sama lain. Sesetengah daripada kami pula ada ikatan kekeluargaan yang menjadikan hubungan tersebut lebih akrab. Hubungan antara kaum juga turut berjalan dalam suasana harmoni.
Sesuai dengan keadaan setempat maka sebahagian daripada ahli Speed Ontell Cycling Team, Bukit Kapar merupakan penduduk Meru dimana anak-anak mereka bersekolah di SK Meru. Dalam erti kata lain, ada dikalangan AJK PIBG SK Meru dan ahli Speed Ontell merupakan orang yang sama.
Kawasan berbukit-bukau di Bukit Kapar, Bukit Cherakah dan Bukit Kerayong merupakan ‘home ground’ bagi ahli-ahli Speed Ontell. Pasukan ini merupakan kumpulan yang telah meneroka kawasan Bukit Cherakah hingga menjejakkan kaki di kemuncak tertinggi di kawasan itu, yakni hampir sama tinggi dengan blok-blok bangunan UiTM di Puncak Alam. Oleh kerana kemuncak tersebut belum ada nama maka merekalah yang memberikan nama sebagaimana yang dikenali sekarang sebagai Bukit Ramli. Pasukan ini yang dipimpin oleh bekas-bekas pelumba basikal yang pernah wakili Selangor pada era 1980-an, telah 3 tahun berturut-turut menganjurkan acara MTB, sama ada secara bersendirian mahupun bekerjasama dengan pihak lain, yang mendapat sambutan diluar jangkaan daripada peminat-peminat MTB.

Dalam acara kali ini kami sudah bersedia untuk menerima jumlah peserta yang lebih besar daripada tahun-tahun terdahulu. Dengan kerjasama pelbagai pihak kami mampu menawarkan hadiah-hadiah  yang agak lumayan, dimana johan terbuka lelaki dan wanita masing-masing akan menerima RM 1,000 dan RM 300 tunai. Kami juga sudah sediakan kemeja-T ‘adidas’ dengan 5 pilihan warna untuk peserta-peserta berdaftar.
Semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh anak-anak Meru dalam menjayakan acara ini begitu menggalakkan, antaranya En Lim Teck Chuan (Eng Wah Trading). Kemana juga beliau pergi dan berjumpa dengan sesiapa jua, beliau telah menghebahkan maklumat tentang acara MTB  Kayuhan1Meru ini sama ada secara lisan mahupun melalui Facebook.    
Selain daripada kerjasama oleh beliau, terdapat juga beberapa individu/peniaga lain yang sudah memberikan persetujuan untuk menyumbangkan hadiah-hadiah cabutan bertuah buat peserta terpilih Kayuhan1Meru nanti.
Kami difahamkan oleh pihak sekolah bahawa pada hari tersebut juga, mereka akan menganjurkan karnival. Beberapa orang peniaga yang kami temui sudah memberikan makluman awal bahawa mereka mahu menempah tapak niaga pada hari tersebut.
Dengan kehadiran dan sokongan semua pihak yang sangat dialu-alukan maka kami penuh yakin acara ini akan berlangsung penuh gilang-gemilang.


No comments:

Post a Comment